Friday, October 17, 2014

Kisah keluarga India Muslim kedaifan di Pulau Pinang, negeri jutawan nasi kandar.

Pulau Pinang mempunyai komuniti India Muslim yang paling ramai berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Malah jutawan-jutawan nasi kandar juga banyak yang datang dari sana. Tetapi apabila terdengar khabar ada keluarga India Muslim yang kedaifan seperti ini, hal itu amat dikesalkan.

Entah mana pergi jutawan-jutawan nasi kandar itu. Merambah mencambah menambah cawangan demi cawangan dengan melepas pandangkan nasib ahli komuniti mereka sendiri yang hidup dalam kedaifan? Menyedihkan.

Makan nasi kuah air setiap hari


PULAU PINANG 15 Okt. - Hidangan mereka hanyalah nasi putih berkuahkan air sejuk yang dikongsi bersama 13 orang dan dinikmati sekali sehari.

Bayi yang berumur setahun pula hanya mampu diberi minum air gula kerana ibu bapanya tidak mampu membeli susu formula.

Lebih malang, keluarga yang tinggal di Flat Green Garden dekat Paya Terubong di sini, terpaksa bergelap sejak sebulan lalu dan bergantung pada bilik air yang disediakan di kolam renang flat tersebut untuk mandi setelah bekalan elektrik dan air dipotong berikutan bil tertunggak sebanyak RM500.

Selain Muhammad Nazmir Abdullah, 27, dan isteri, Nurul Nadia Zulkifli, 25, bersama tiga anak mereka berusia lima, tiga dan setahun, rumah flat dua bilik itu turut didiami dua ibu tunggal dengan masing-masing mempunyai dua dan empat orang anak.

Menurut Muhammad Nazmir, rumah itu sebenarnya adalah kepunyaan kakak iparnya, Siti Maisuri, 27, yang tinggal bersama empat anak berusia antara dua dan tujuh tahun setelah ditinggalkan suami kira-kira setahun lalu.

"Selain keluarga saya, rumah ini turut didiami seorang lagi kakak Nurul Nadia iaitu Siti Fatimah, 33, yang juga merupakan ibu tunggal bersama dua anaknya berusia 17 dan 10 tahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, keluarga itu mene-rima lawatan Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah.

Muhammad Nazmir yang beker-ja sebagai pengawal keselamatan di flat itu sebelum kontraknya ditamatkan dan kini hanya bergantung pada pendapatan sebanyak RM25 sehari dengan bekerja sebagai buruh kontrak berkata, mereka terpaksa tinggal di rumah kecil itu kerana tiada tempat lain untuk dituju.

"Pendapatan saya tidak cukup untuk menampung belanja isteri dan tiga anak hingga terpaksa menumpang di rumah kakak ipar.

"Seorang lagi kakak ipar saya turut menumpang di sini bersama dua anaknya setelah ditinggalkan suami. Kami terpaksa makan nasi bersama air sejuk untuk mengalas perut sebab tak mampu menyediakan makanan lain," katanya.

Tambah Muhammad Nazmir, lebih memeritkan, anak saudaranya, Zaki Anuar Mohd. Abas, 17, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya hanya terlantar di rumah sejak setahun lalu dan memerlukan perhatian rapi ibunya.

Jelasnya, walaupun kakak ipar-nya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM660 dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM400 sebulan, namun itu hanya cukup untuk menampung belanja perubatan Zaki Anuar kira-kira RM900 sebulan.

"Dengan bantuan JKM dan ZPP itulah, Siti Fatimah gunakan untuk membeli lampin pakai buang, belanja perubatan di Hospital Pulau Pinang serta bayaran teksi untuk membawa anaknya ke hospital.

"Anak keduanya, Faimah sering ponteng sekolah kerana tidak mampu untuk berulang-alik menggunakan bas ke Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee di George Town setiap hari," ujarnya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Nurul Nadia di talian 0111-6587114 atau menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 07137-29-00007713-6 (BSN) atas nama Muhammad Nazmir Abdullah.



Artikel Penuh: UTUSAN 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: