Tuesday, July 09, 2013

Mohon MBI beri lesen sementara untuk penjaja kecil


SINAR HARIAN
7 Julai 2013

IPOH - Persatuan Penjaja Kecil Taman Perpaduan memohon Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi lesen sementara kepada semua peniaga kecil di kawasan berkenaan bagi mengelakkan pendapatan mereka terjejas.

Pengerusi persatuan berkenaan, Nor Azaman Azizan berkata, permohonan lesen itu bertujuan mengelakkan penjaja kecil di sekitar kawasan itu terganggu dengan kebanjiran peniaga luar pada Ramadan nanti.

Nor Azaman menjelaskan, pihaknya ada menerima aduan berhubung insiden penjaja kecil dihalau dari tapak perniagaan mereka oleh peniaga luar yang datang berniaga di kawasan itu pada Ramadan tahun lalu.

"Kami rasa sudah tiba masanya penjaja kecil di sini menerima lesen sementara daripada pihak berwajib untuk membolehkan mereka terus berniaga di sini.

"Ada antara mereka telah berniaga di sini lebih lima tahun dan bagi saya, sangat tidak adil jika mereka tidak dapat berniaga di tempat selalu mereka berniaga," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, penjaja kecil sememangnya memerlukan lesen sementara bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan di kawasan berkenaan tambahan pula Ramadan akan tiba dalam masa terdekat.


Nor Azaman (dua, kanan), berkata sesuatu kepada Adun Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (kanan) ketika melawat salah sebuah gerai selepas perasmian Sambutan 30 tahun Taman Perpaduan.

No comments: