Friday, July 12, 2013

Ejaan jawi diguna pakai sudah sempurna


Terdapat cadangan yang mahukan tulisan jawi dipulihara dan dipermodenkan susun atur kaedah ejaannya seperti menambah 'alif' pada gandingan 'ya' + 'nga' yang membawa bunyi 'yang'.

Pendapat tersebut dikemukakan oleh seorang penulis dari Putrajaya pada 3 Julai di ruangan Forum di Utusan Malaysia. Pada 11 Julai, dalam ruangan yang sama, pendapat lain menyanggahnya pula atas alasan tulisan jawi sedia ada sudah cukup sempurna. 

ARKIB : 11/07/2013

Ejaan jawi diguna pakai sudah sempurna

SYAMSYUL FADZLI MAT
Putrajaya

SAYA tertarik untuk mengulas pendapat Noorsyazwan Nazri dari Putrajaya dalam ruangan ini keluaran Rabu, 3 Julai 2013 berhubung tulisan jawi. Semangatnya dalam mengusahakan pemantapan dan kemajuan tulisan jawi wajar dipuji.

Tetapi pada pendapat saya, cadangan beliau untuk mewujudkan huruf 'alif' yang ditiadakan dalam ejaan yang mempunyai huruf 'a' merupakan idea yang agak janggal.

Contohnya, perkataan 'yang' yang dieja sejak berzaman dengan ya + nga, dicadangkan agar dieja dengan ya+alif+nga agak tidak kena pada gayanya kerana huruf ya telah berdiri dengan sebutan alif yang terlekat kepadanya, menjadikan bunyinya ya.

Sebaliknya, huruf penambahan huruf alif mungkin hanya diperlukan pada perkataan tersebut seandainya huruf ya itu disebut yu kerana tanpa alif perkataan yang itu akan terbaca yung.

Saya bukanlah daripada kalangan mereka yang hidup dalam zaman tulisan jawi, apatah lagi pakar. Saya lahir pada tahun 1978 dan hanya belajar jawi di kelas agama sekolah rendah dan kelas agama selepas waktu sekolah.

Ejaan jawi yang digunapakai hari ini sudah agak sempurna seandainya kita bersungguh-sungguh mahu menguasainya atas dasar mengangkat keunggulan tulisan tersebut, bukan atas dasar mahu merombak apa yang tidak perlu.

Memanglah akan ada rasa kekok pada mula mempelajarinya. Namun logiknya, tidak seharusnya mungkinlah sesuatu yang dipelajari itu perlu diubah demi menuruti selera mereka yang mempelajarinya. Sementelahan huruf jawi adalah huruf-huruf Arab, corak ejaannya tentulah berkait langsung dengan cara ejaan Arab.

Tidak mungkin perkataan Ar Rahman dieja alif+ro+ro+alif+ha+mim+alif+nun sedangkan perkataan Arabnya alif+lam+ro+ha+mim+nun.

Jangan sampai perkataan Selasa yang datangnya dari huruf Arab 'thalaatha' yang bermaksud 'tiga' kelak dieja sin+alif+ lam alif+sin+alif demi transliterasi mentah-mentah sedangkan ejaan sebenar asal muasal perkataan tersebut ialah tsa+lam alif+tsa. Bukankah itu mencetus cacamarba yang lebih kronik?

Buatlah latih tubi dalam tulisan jawi sebanyak mungkin. Malah perbanyakkanlah tulisan jawi di Twitter, Facebook dan blog-blog bagi membolehkan tulisan jawi muncul di skrin peralatan gajet dan paparan komputer.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130711/fo_02/Ejaan-jawi-diguna-pakai-sudah-sempurna#ixzz2YoYagV3v 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

Anonymous said...

bila nye kerajaan nak memperhebatkan tulisan2 jawi ni! rugi sgt2 kalau tak dibuat dr sekarang! Putrajaya tu kalau dpt dijawikan semuanya, utk permulaan.